DISEMBER 2023

MIPD Tetapkan Lapan Sasaran Untuk 2024


KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) telah menetapkan lapan sasaran utama untuk dicapai pada tahun depan.

Menterinya yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sasaran itu termasuk sifar projek sakit, 100 peratus prestasi perbelanjaan kewangan dan penubuhan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pelabuhan Tunggal yang akan dibentangkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Mei 2024.

“Turut menjadi keutamaan ialah rundingan mengenai syarat penyerahan Pelabuhan Bintulu yang akan diselesaikan menjelang Julai.

“Kemudian kita perlu menyediakan mekanisme dan penggabungan kesemua lima pihak berkuasa pelabuhan iaitu Miri, Samalaju, Rajang, Tanjung Manis dan Kuching.

“‘Bermula dari itu, kita perlu meningkatkan sistem pemantauan dan pelaksanaan kita.

“Kami juga berharap dapat melibatkan lebih ramai profesional selain meningkatkan kapasiti kakitangan sedia ada dalam meningkatkan modal insan kami.

“Akhir sekali, kami ingin melaksanakan analisis laluan kritikal untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kami dan meningkatkan produktiviti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Malam Penghargaan dan Pra Krismas MIPD di sini, pada Khamis.

Datuk Amat Douglas menambah beliau optimis sasaran itu dapat dicapai dengan komitmen penuh dan kerja berpasukan kementerian.

“Kita mempunyai gabungan bakat, kemahiran dan sikap terbaik dalam mencapai prestasi yang hebat.

“Saya juga amat bertuah kerana mempunyai dua timbalan menteri yang bekerja keras iaitu Datuk Majang Renggie dan Datuk Ir Aidel Lariwoo yang akan menjelajah ke seluruh Sarawak dalam membantu saya dan MIPD ini,” ujarnya.

Datuk Amar Douglas Uggah menjelaskan, apabila beliau memegang jawatan sebagai menteri MIPD pada 2022, beliau telah mengarahkan untuk memberi tumpuan kepada beberapa objektif.

“Pertama, saya ingin memastikan semua projek pembangunan di bawah MIPD dilaksanakan untuk rakyat dengan berkesan dan mengikut jadual.

“Saya juga mahu memastikan pelabuhan di Sarawak bersedia untuk masa hadapan dan mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa serta menyediakan perkhidmatan yang memudahkan pembangunan ekonomi Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan antara masalah yang perlu diselesaikan kementerian pada masa itu ialah peningkatan bilangan projek sakit kritikal dan tertangguh sepanjang tempoh pandemik Pasca Covid -19.

Mengenai isu lain, beliau berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mahu MIPD membantu dalam pembangunan Pelabuhan Tanjung Embang baharu.

Ujarnya, pelabuhan itu akan menjadi pintu masuk maritim utama bagi industri minyak dan gas di wilayah selatan negeri ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Datuk Ir Aidel, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau, Pengarah JKR Sarawak Datu Ir Richard Tajan serta yang lain. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS